Saturday, August 14, 2010

Laman Web "Tawar" Pembantu Rumah Tempatan

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Kesibukan di tempat kerja mungkin membataskan sesuatu pasangan itu untuk mencari sendiri pembantu rumah mereka, lantas terpaksa menyerahkan kepada ejen menjalankan tugas ini.

Kebanyakan ejen pula menguruskan pengambilan khidmat pembantu rumah asing dan terserah kepada mereka mencari dan menyediakan pembantu yang diminta.

Sejak berlakunya pembekuan pengambilan pembantu rumah warga Indonesia dan bermacam kes melibatkan pembantu rumah asing, banyak alternatif ditawarkan kepada majikan yang sememangnya memerlukan pembantu di rumah mereka.

Pengurus Kediaman ialah satu daripada pilihan dan banyak tawaran serta iklan boleh didapati melalui Internet.

Satu lagi ialah Homeneed Services Sdn Bhd melalui laman webnya http://www.oranggaji.com. Laman web ini memberi peluang kepada sesiapa saja yang mengalami kesukaran mendapatkan khidmat pembantu rumah.

Apa yang membezakan perkhidmatan Homeneed Services dengan agensi pembekal atau ejen pembantu rumah lain?

BUKAN EJEN PEMBANTU RUMAH

Pengarah Urusan Homeneed Services, Nazari Zain ketika ditemubual menegaskan bahawa Homeneed Services bukan agensi pembekal pembantu rumah kerana ia tidak melakukan aktiviti yang dibuat oleh agensi seperti merekrut, melatih dan membekal pembantu rumah kepada majikan.

"Malah kami juga tidak kenakan apa-apa bayaran perkhidmatan seperti yang dikenakan oleh agensi," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata idea untuk membangunkan laman web itu lahir apabila berhadapan kesukaran membesarkan lima orang anak tanpa bantuan pembantu rumah.

Selain merasai sendiri pengalaman itu, Nazari berkata perkhidmatan yang ditawarkan menerusi laman web itu juga bertujuan menyahut seruan kerajaan dalam mengurangkan pergantungan terhadap khidmat warga asing.

Beliau berkata Homeneed Services memberi peluang kepada mana-mana pihak yang mengalami kesukaran mendapatkan pembantu rumah dengan mengiklankan perkhidmatan yang diinginkan menerusi laman web itu.

IKLAN DALAM TALIAN

Katanya laman web itu bertindak sebagai `iklan dalam talian' yang memudahkan pencarian pembantu rumah tanpa melibatkan agensi pembantu rumah atau orang tengah.

"Sesiapa yang ingin mendapatkan pembantu rumah boleh membuat iklan secara online di laman web ini dan mereka dikenali sebagai "majikan".

"Iklan ini sama seakan iklan di akhbar dan sedikit caj dikenakan dan apabila mereka dihubungi oleh sesiapa yang berminat, itu merupakan urusan antara mereka dan kami tidak terlibat kerana Homeneed Services hanya sebagai platform pertemuan menghubungkan mereka," katanya.

HANYA RAKYAT TEMPATAN

Selain isu pembekuan pembantu rumah Indonesia, Nazari berkata laman web itu juga dibangunkan apabila melihat peningkatan statistik jenayah yang membabitkan warga asing.

Tidak bertujuan menuding jari pada sumber tenaga kerja Indonesia, Nazari berkata perlu ada satu cara bagi mengurangkan keterlaluan penggantungan khidmat warga asing sebagai pembantu rumah.

"Saya bukan cakap begitu sahaja kerana apa yang diperkata ini adalah hasil pembacaan dari akhbar.

"Pelbagai kes jenayah yang melibatkan warga asing dan saya kira sudah tiba masanya kita menggunakan khidmat rakyat tempatan sebagai pembantu rumah. Lagipun aktiviti seperti ini pernah kita lakukan dahulu," katanya.

Disebabkan faktor itu, Nazari mengambil inisiatif mewujudkan laman web www.oranggaji.com yang seratus peratus memberi peluang kepada rakyat tempatan mengiklankan khidmat mereka.

Katanya majikan juga tidak perlu menyediakan tempat penginapan buat pembantu rumah kerana mereka hanya datang bekerja mengikut jam, hari atau minggu dan ini memberikan lebih privasi kepada majikan.

"Seperti saya maklumkan sebelum ini kami bukan agensi pembantu rumah dan ini dapat dilihat apabila mereka (pembantu rumah) hanya datang dan balik, bekerja mengikut jam, hari atau minggu.

"Ini kerana ada sesetengah majikan tidak suka hidup sekali dengan pembantu rumah kerana tiada privasi tetapi ingin menggunakan khidmat mereka, dan saya rasa laman web ini akan dapat membantu," katanya.

PELUANG KEPADA PENCARI KERJA

Menariknya, laman web www.oranggaji.com ini tidak hanya tertumpu kepada mereka yang ingin mendapatkan khidmat pembantu rumah, malah turut memberi peluang kepada individu yang sedang mencari pekerjaan.

Nazari berkata laman web yang dibangunkan Homeneed Services ini menyerupai perkhidmatan yang ditawarkan portal pencarian kerja popular seperti www.JobStreet.com, www.Jobsdb.com dan www.JobsMalaysia.

Bezanya www.oranggaji.com tidak menjanjikan pencari kerja dengan pekerjaan (glamor) seperti pegawai eksekutif kerana ia lebih khusus kepada bidang pengurusan kerja rumah.

"Kami berbeza dengan portal pekerjaan lain. Kami lebih tertumpu kepada jenis kerja atau khidmat seperti mengemas, membasuh, mencuci, penjagaan kanak-kanak, orang tua, orang sakit, khidmat membayar bil, menjaga taman dan lain-lain yang berkaitan.

"Jadi sesiapa yang berminat, boleh mengiklan apa saja servis yang mereka ingin tawarkan dengan mendaftar sebagai 'pemberi khidmat" dan tiada bayaran dikenakan. Sebagai contoh, si A ingin menawarkan perkhidmatan sebagai pemotong rumput boleh mengiklankan menerusi laman web ini," katanya.

Nazari berkata kewujudan laman web itu dapat membantu golongan ibu tunggal mahupun pelajar institusi pengajian tinggi memperoleh pendapatan tambahan dengan menawarkan perkhidmatan mengikut kepakaran mereka.

Menariknya, mereka boleh bekerja mengikut masa dan kadar upah yang ditetapkan sendiri.

"Kami sedang berusaha mengadakan ceramah di beberapa lokasi dan kami juga dalam proses menarik perhatian graduan yang menganggur untuk bekerja dalam bidang lain sementara mendapat kerja tetap," katanya.

SAMBUTAN DITERIMA

Sebelum portal itu dilancarkan, versi awal ialah www.TheHomeNeeds.com, namun tidak berjaya menarik perhatian masyarakat kerana tiada pengkhususan dan kandungannya ditulis dalam bahasa Inggeris.

Apatah lagi, penggunaan Internet pada ketika itu masih hijau dan belum popular dalam kalangan masyarakat.

Bertitik-tolak dari pengalaman itu, Nazari mewujudkan www.oranggaji.com pada April tahun lepas.

Ujar Nazari, sambutan yang diterima agak memberangsangkan walaupun pengenalannya masih baru.

"Kami dapati setiap hari semakin ramai majikan mendaftar untuk mengiklankan apa saja khidmat yang mereka inginkan dan sehingga ini laman web ini mencatat lebih 20,000 pelawat," katanya.

Setakat ini sejumlah 2,000 majikan mendaftar dengan laman web itu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment