MARANG 28 Okt. –Ibrahim Mohd. Nor, 59, yang berasal dari Bukit Payong memulakan perniagaan kecil dalam industri asas tani lebih dua dekad lalu dengan modal hanya beberapa ratus ringgit.
Bekas peserta projek pembangunan rakyat termiskin ini memanfaatkan hasil pertanian di sekitar daerah ini dengan menghasilkan kerepek ubi dan pisang yang dipasarkan menggunakan pengangkutan awam buat permulaan.
Hasil kesungguhan yang diperlihatkan, beliau mendapat dana pembiayaan daripada kerajaan untuk menambah peralatan dan mendirikan bengkel, sebelum mengembangkan secara lebih komersial melalui penubuhan syarikat Ibrahim Industri Sdn. Bhd pada 2006.
Melalui bantuan dan bimbingan pelbagai agensi, syarikatnya mengeluarkan pelbagai produk menggunakan jenama Pak Him termasuk kerepek pisang lemak, kerepek ubi pedas, keropok sira berlada dan kerepek ubi perisa asli.
“Dalam perniagaan ini, semakin lama kita sering menghadapi kekurangan bahan mentah dan masalah ini yang selalunya menjejaskan usaha untuk meningkatkan pengeluaran sehingga terpaksa mendapatkannya dari beberapa negeri lain. Tentunya juga melibatkan tambahan kos,” ujarnya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Menurut Ibrahim, Kekurangan bahan mentah bagi memenuhi keperluan yang tinggi khususnya pisang nangka menjejaskan perniagaannya yang banyak bergantung kepada bahan mentah itu, selain ubi untuk menghasilkan produk utama syarikat.
“Alhamdulillah, di sebalik semua kesusahan ini, pengeluaran syarikat kami masih belum terjejas malah terus menerima permintaan yang tinggi terutama pada musim perayaan,” katanya.
Sehingga kini, melalui kilangnya di Pak Madah dekat sini, produk keluaran Ibrahim Industries sudah menembusi pasaran di pasar-pasar raya besar terkemuka di negara ini.
Beliau yang berterima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu terutama Malaysian Industrial Develoment Finance Berhad (MIDF) dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, berharap dapat membalas bantuan yang diberikan dengan membantu penduduk setempat menjana pendapatan mereka.
“Kalau boleh saya berharap dapat diwujudkan satu pusat pengumpulan bahan mentah di kampung-kampung tertentu. Selain memudahkan pengusaha untuk mendapatkan bekalan, hasil penduduk setempat terjamin pasarannya,” ujar Ibrahim yang turut meneroka ternakan ikan air tawar dan tanaman kelapa sawit.
- See more at: http://www.utusan.com.my/bisnes/usahawan/jenama-pak-him-berkembang-di-pasaran-1.18070#sthash.YqluqoIu.dpuf
No comments:
Post a Comment